Cerpen: Jangan Bunuh Semut Api

Bahagian I

“Qayyum, Qistina. Jangan main jauh-jauh.”

“Baik, Umi!”balas kembar seiras itu serentak. Kedua-duanya berlari keluar dengan girang.

“Ha, satu lagi, jangan nakal-nakal. Jangan bunuh semut api.”Pesan Umi dengan buncah hati sambil mengangkat kain jemuran.

“Baik, Umi!”balas Qistina tatkala menyarung selipar. Manakala Qayyum yang sudah lesap daripada pandangan Umi sedang ralit mengorek tanah.

Petang itu redup. Angin perbukitan mengapungkan alunan ciap-miap kedidi dari hutan seberang. Cuaca tidak seburuk semalam dan kelmarin, dada langit suram dan kelam. Bersukarialah kembar seiras itu kerana dapat bermain bebas di luar. Dua hari berturut-turut mereka terpaksa berkurung dalam rumah. Setiap petang mereka berdiri kaku di muka jendela menanti hentinya hujan dan guruh yang tidak letih-letih menangis dan meraung.

Qayyum menggali lubang dalam-dalam dengan penyodok mainan. Batu-batu kecil dikutip dan dimasukkan dalam bekas. Lori dan kereta mainan disusun berderetan di sisinya. Qistina pula baru terkial-kial membuka bakul mainan. Dia membentangkan tikar mengkuang lalu duduk bersimpuh. Dikeluarkannya satu-persatu alat permainan ‘pondok-pondok’ sambil bermonolog. Tersenyum sendirian.

Dunia Semut

Sudah berlangir di tepian

Jangan lupa elok bersugi

Nur wajah pendaran nurani

Cantik kias berpantun berbahasa

Kecil tubuh bukan ukuran

Besar jiwa dipandang tinggi

Selagi berpadu hati murni

Damai senantiasa nusa bangsa.

“Rakyat jelata sekalian, beta amat berbangga akan kesungguhan kalian. Benar tanggapan Jeneral Jit bahawa cuaca buruk akan menimpa kita sehari dua ini. Maka, kerja keras kalian mengumpul bekalan makanan tidaklah sia-sia. Tiada masalah makanan. Tiada catuan makanan. Walaupun kita hanya berkurung sahaja sehari dua ini. Terima kasih beta ucapkan.” Permasuri Mut bersabda di hadapan dua ribu ekor semut api.

Titah Permaisuri Mut disertai dengan tepukan gemuruh rakyat jelata. Stadium tertutup itu bergema lagi. Sorakan demi sorakan kedengaran di segenap ruang. Rakyat jelata saling menggesel sesungut tanda keghairahan dan kegembiraan. Ada juga yang saling berpelukan dan berjabat tangan kerana terkesan dengan pujian yang dilontarkan oleh Permaisuri Mut itu.

Jeneral Jit bangkit dan melaungkan. “Hidup Permaisuri! Hidup Permaisuri! Hidup Permaisuri!”

Laungan itu bersahut-sahutan. Ruang udara bergema lagi dengan rentak sorakan.

“Dengan sukacitanya, patik menjemput Permaisuri Mut untuk menitahkan proklamasi kedua.”Jeneral Jit mengumumkan diiringi paluan kompang dan rebana.

“Wahai rakyat sekalian, marilah kita bersyukur kepada Tuhan yang telah menciptakan kita. Walaupun kita hanya serangga kecil, kita juga punya kelebihan. Maka, beta  berharap agar rakyat semua saling menghormati dan bekerjasama dalam semua perkara. Kerana, itulah kelebihan kita.”

Baginda menjulang tongkat sakti ke langit. Dua ribu ekor semut api mendongak serentak, menyaksikan pancaran cahaya Tongkat Sakti Gemala Api itu. Ghairah.

“Rakyat yang dikasihi sekalian, bekerjalah dengan bersungguh-sungguh. Penuhilah tanggungjawab yang telah diamanahkan. Janganlah berpecah-belah. Jika kita bersatu, kerajaan ini pasti teguh, andai bercerai robohlah ia.”

Legar pandangan seluruh rakyat jelata tertumpu pada Permaisuri Mut. Sesungut tegak berdiri persis antena mengesan gelombang radio. Mata tidak berkedip walau sedetik. Asyik.

“Dengan ini beta mengisytiharkan, rakyat sekalian bebas keluar mencari rezeki dan bersuka ria. Yang penting, jagalah keselamatan masing-masing.”

Gendang dipalu lagi. Melodi ‘enjit-enjit semut’ oleh pasukan genderang yang mengiringi sorak-sorai menjadi halwa telinga sepanjang perbarisan.

QAYYUM asyik melukis di atas tanah dengan ranting kayu. Dia melakar lukisan orang lidi, wajah dirinya sendiri, Qistina, Abang Amir Hamzah, Umi dan Abi.

“Qis, mari sini! Mari lihat lukisan Qayy.”Qayyum menjerit penuh semangat dari jauh memanggil saudara kembarnya.

Qistina sekadar menjeling. Dia sedang mendodoi manja anak patung beruang di bawah pokok rambutan.

“Qis tak boleh ke sana, nanti teddy menangis.”Qistina membuat alasan manja.

“Bawalah teddy ke sini sekali.”Qayyum bersungguh-sungguh memanggil Qistina.

Teddy mahu tidurlah, Qayy.”Qistina mencari alasan lagi. Nada suara ditinggikan sedikit.

Qayyum mengalah. Dia terus melukis, melakar garisan-garisan halus, kemudian tersenyum sendiri. Dia berdiri tegak dan menggeliat untuk meregangkan urat-urat kerana dari tadi asyik mencangkung. Kakinya terasa kebas-kebas. Dengan tidak semena-mena, dia menghenyakkan punggung di atas busut untuk berehat-rehat.

Dunia Semut

“Gempa! Gempa! Lari!” Tempik golongan marhaen semut api.

Bahan-bahan makanan yang diangkut tadi dilepaskan begitu sahaja. Beribu-ribu ekor semut berasak-asak mencari gerbang keluar untuk menyelamatkan diri. Ada yang melolong, ada yang memekik. Suasana kelam-kabut.

Bandaraya Saga itu bergegaran. Lembayung bandar bagai dihempap sesuatu yang berat. Sebahagian binaan di pusat bandar kian hancur menjadi debu-debu halus.

Jeneral Jit lekas-lekas mengarahkan lasykar semut api bergegas ke singgahsana untuk melindungi Permaisuri Mut yang sedang bersemayam.

“Lasykar, bergerak ke timur sekarang. Lindungi baginda Permaisuri Mut. Bawa baginda ke istana bawah tanah. Segera!”

“Baik, Jeneral!”Serentak paduan suara lasykar semut api mengisi ruang udara.

Semut Perisik juga mula menjalankan tugas, tanpa perlu diarah. Mereka sudah sedia maklum tentang tanggungjawab masing-masing. Lalu serentak mereka berbaris keluar, melalui terowong bawah tanah.

Ketua Perisik, Sarjan Sit tercengang. Matanya seakan-akan mahu tersembul keluar melihatkan Bandaraya Saga dihempap seorang kanak-kanak lelaki. Dia mengintai dari celahan daun-daun kering dan kayu-kayu reput.

“Ayuh, mari kita kembali ke sarang. Berita ini harus dikhabarkan kepada Jeneral Jit dengan segera!”Seru Sarjan Sit.

Setibanya di tempat persembunyian, Sarjan Sit bertemu dengan Jeneral Jit. Maka, bermulalah strategi memerangi musuh mereka yang telah menghancurkan seluruh pusat bandar.

Jeneral Jit memberikan arahan.

“Serang!”

Serentak, seratus ekor semut api dengan kental semangat bersatu-padu menentang musuh mereka itu. Kaki kanak-kanak lelaki itu diserang serentak daripada semua arah.

BERSAMBUNG…

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s