Cerpen:Jangan Bunuh Semut Api

Bahagian I

Bahagian satu boleh dibaca di sini.

Bahagian II

Mencari madu bunga mekar -imej oleh Tamyl91 Deviantart-

QISTINA terlompat-lompat kerana mahu memetik buah rambutan. Setangkai rambutan yang ranum berjaya dipetiknya. Beberapa ekor semut hitam masih tertinggal pada rerambut buah tempatan itu. Selebihnya sudah jatuh berguguran atas tikar mengkuang. Ada yang bertempiaran. Ada yang melekat pada tubuh dan rambut Qistina.

“Sakit!”Jerit Qayyum dari jauh. Wajahnya merah padam.

Dia mengibas-ngibas kaki. Kemudian menghentak-hentak kaki pada busut tempat dia melabuhkan punggung tadi. Semakin lama, semakin banyak semut api keluar dari busut itu. Kaki Qayyum digigit rakus oleh semut-semut itu.

“Qis, tolong Qayy.”Qayyum bertempik lagi sambil berlari terhincut-hincut.

Pandangannya hanya terarah pada Qistina yang sedang mengibas-ngibas rambut.

“Kenapa kaki Qayy merah-merah?”Soal Qistina sambil memegang setangkai rambutan yang masak ranum.

“Semut api gigit Qayy.”

“Qayy bunuh semut api? Ha, Umi pesan, jangan bunuh semut api.”

“Tak, Qayy tak bunuh semut api.”Nafi Qayyum bersungguh-sungguh kemudian menyambung lagi.

“Qis pula, kenapa tergaru-garu dari tadi?”Qayyum mengerutkan dahi.

“Semut hitam dari pokok rambutan ini.”Jawab Qistina sambil mendongak ke atas.

Dunia Semut

“Hey si kulit hitam, bangsa pengecut!”Ejek seekor semut api dari kalangan lasykar.

“Kami bukan pengecut. Kami cuma mahu hidup berdamai!”Semut hitam dari kalangan buruh menafikan.

“Kalau begitu, mengapa kamu tidak menyerang saja musuhmu? Mengapa kamu tidak menggigit saja mereka yang menganggu ketenteraman dan kedamaian bangsamu? Bukankah itu lebih baik untukmu dan bangsamu sendiri?”

“Tidak, manusia bukan musuh kami. Kurang budi teraba-raba, tidak ilmu suluh padam.”Semut hitam terus menangkis tohmahan itu tenang.

Seekor tentera semut api berpangkat rendah bangkit, lantas melaungkan, “Kita serang bangsa pengecut semut hitam. Kita gempur!”

“Tunggu dulu. Siapakah kau untuk memberikan arahan?”Jeneral Jit muncul dari belakang.

Lasykar semut api yang baharu hendak mengangkat senjata berundur kembali mendengarkan tentangan daripada Jeneral Jit.

“Lasykar sekalian, pulanglah ke bandar sekarang. Permaisuri Mut pasti murka jika peperangan meletus!”Arah Jeneral Jit getas.

Jeneral Jit berjalan perlahan. Mata bertentang mata. Semut hitam itu berundur setapak, resah tubuh kecilnya diapa-apakan oleh Jeneral lasykar semut api yang bertubuh sasa itu.

“Usah gentar semut hitam, saya ingin berunding.”Ujar Jeneral Jit sopan sambil membaling senyum.

Serta-merta muncul Presiden semut hitam dari belakang tubuh kecil itu, lalu membalas dengan anggukan.

“Ya, tidak menjadi masalah. Kami sedia berunding. Ya, perundingan, bukan peperangan. Apakah cara terbaik? Bangsamu, bangsa semut api selalu mengatakan bahawa bangsa kami pengecut. Sedangkan kami tidak begitu.”Presiden semut hitam berbicara diplomatik.

“Maaf atas kelakuan kurang sopan bangsa saya tadi. Mereka tidak seharusnya bertindak sedemikian. Saya akan menghukum dan mendidik mereka dengan hukuman setimpal dan ajaran yang sesuai kelak. Usah risau.”Jeneral Jit menabur janji yang pasti dikotakannya.

ABANG Amir Hamzah yang tinggi lampai itu muncul. Sudah diterkanya sedari awal lagi tempat bermain dua orang adiknya itu.

“Qayyum, kenapa tergaru-garu?”Soal Abang Amir Hamzah

“Semut api gigit Qayy.”Jawab Qayyum manja.

“Qayy bunuh semut api lagi?”Soal Abang Amir Hamzah serius.

“Tak, Qayy tak bunuh semut api. Qayy…”Qayyum kemudian mendiamkan diri.

Abang Amir Hamzah mengalih pandang pada Qistina pula.

“Qis, Qis pun digigit semut api?”Soalnya melihatkan Qistina yang sedang resah menggaru-garu kepalanya.

“Tak, bukan semut api, tapi semut hitam.”Qistina menggigit bibir.

Abang Amir Hamzah merapati mereka. Di atas rumput hijau itu dia duduk bersila. Kemudian diikuti oleh kembar cilik itu.

“Adik-adik pernah dengar kisah Nabi Sulaiman dan semut?”

“Belum.”Balas mereka serentak, dengan gelengan dan wajah keterujaan.

“Nabi Sulaiman a.s banyak dikurniakan nikmat seperti kerajaan dan kekayaan. Baginda juga mempunyai tentera-tentera dari kalangan jinmanusiaburung dan sebagainya. Satu keistimewaan yang ada pada Nabi Sulaiman ialah baginda boleh memahami bahasa binatang.”

Qistina memotong cerita Abang Amir Hamzah.

“Jadi, Nabi Sulaiman boleh bercakap dengan binatang?”

“Begitulah.”

Qayyum terlopong kerana terlalu teruja mendengar keistimewaan Nabi Sulaiman itu. Kagum. Abang Amir Hamzah menggubah jambangan senyum melihat telatah mereka. Dia kemudian menyambung lagi.

“Pada suatu hari, Nabi Sulaiman melewati suatu kawasan sehinggalah sampai di lembah semut. Saat itu, Nabi Sulaiman mendengar suara seekor semut memberikan arahan:

‘Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan bala tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari.’

Mendengarkan kata-kata semut itu, Nabi Sulaiman pun tersenyumlah dengan tertawa.”

“Lepas tu, apa yang Nabi Sulaiman buat?”Sampuk Qayyum dengan perasaan ingin tahu yang mendalam.

“Nabi Sulaiman pun terus berdoa:

‘Ya Tuhanku, berikanlah aku ilham untuk terus mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh’

Nabi Sulaiman yang telah diberi Allah nikmat yang besar itu tidak merasa takabur atau sombong. Malah sebagai seorang hamba Allah, baginda tetap memohon agar Allah memasukkannya ke dalam golongan orang-orang yang soleh.”

“Bertuahnya Nabi Sulaiman. Abang, apa kelebihan yang ada pada semut?”Qistina pula menyoal lagi, mahu mendengar lanjutan daripada cerita itu.

“Banyak keistimewaan semut sebenarnya. Semuanya boleh manusia contohi. Kerana itulah, Allah menamakankan satu surah dalam Al-Quran sebagai surah an-Naml iaitu semut. Hebatnya ciptaan Allah.”Abang Amir Hamzah mengulas perlahan-lahan.

“Wah, beruntungnya semut!”Serentak Qayyum dan Qistina bersuara.

“Cuba adik-adik perhatikan kehidupan masyarakat semut.  Kerja gotong-royong, strategi ketenteraan, jaringan komunikasi yang bagus, perancangan kota yang sempurna, disiplin, kerjasama dan banyak lagi nilai-nilai murni boleh kita contohi. Hebatkan semut-semut ini, walaupun mereka hanya serangga yang kecil?”Ujar Abang Amir Hamzah lagi sambil meraut senyuman.

“Qayy janji, Qayy tak akan kacau lagi busut dan sarang semut api!”Qayyum mengangkat tangan dengan badan tegak seperti  orang sedang berikrar.

“Qis janji, Qis tak akan kacau sarang semut hitam lagi!”Qistina mengikut di belakang.

“Qayy mahu selalu tolong keluarga dan kawan-kawan, macam semut juga. Nanti Allah sayang.”

“Qis pula mahu selalu berdoa. Allah pun suka orang yang selalu berdoa. Qis mahu doakan Abi, Umi, Abang Amir dan Qayyum selalu.”

“Qayy, Qis. Itulah hablumminallah,  hablumminannas.”Ujar Abang Amir Hamzah. Senyumannya langsung bertingkir di bibir.

Petang yang damai merangkak pergi. Senja menyelimuti kaki langit. Dari jauh, semut hitam dan semut api saling berjabat dan berpelukan. Hikayat dari Al-Quran itu telah meruntun hati serangga kecil yang berjiwa besar. Sayup-sayup gelak tawa tiga beradik itu bergema di Bandaraya Saga yang sedang gigih dibangunkan kembali, tanpa beza warna kulit, merah atau hitam.

One thought on “Cerpen:Jangan Bunuh Semut Api

  1. tahniah penulis
    best cerpen ni
    semoga Allah terus memberi ilham kpd penulis utk terus berkarya🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s