Kembali…

Andai masa boleh diputar kembali, anda mahu kembali ke masa lalu? Andai diberi peluang, ke waktu yang mana satu anda ingin kembali? Waktu kanak-kanak? Waktu tingkatan 5 atau waktu anda bertemu dengan seseorang yang anda kasihi? Waktu yang mana satu??

Dahulu, sewaktu berada di tahun pertama pengajian diploma kami di JAD, saya dan rakan-rakan didedahkan dengan satu permainan yang dinamakan saikoro talk bagi subjek bahasa jepun. Saikoro di dalam bahasa Melayu adalah dadu. Untuk permainan ini, mesti ada seorang pengerusi majlis dan beberapa orang peserta. Sewaktu bermain, para peserta dikehendaki membaling seketul dadu besar yang diperbuat daripada kotak, pada setiap permukaan dadu itu ditulis topik-topik yang terpilih. Dadu mempunyai 6 permukaan, jadi ada 6 topik kesemuanya. Setelah membaling dadu, dan topik telah diketahui, para peserta dikehendaki bercakap berkisar topik tersebut dalam bahasa jepun selama 3 minit. Oleh kerana bercakap dalam bahasa jepun, ada kalanya para peserta akan kehilangan kata-kata, di sinilah pengerusi majlis memainkan peranan penting membantu agar perjalanan permainan tidak terhenti. Jadi, permainan ini bukan sahaja melatih keyakinan untuk bertutur dalam bahasa jepun malah mengajar erti kerjasama.

Sudah jelas tentang saikoro talk? Tujuan saya bukanlah mahu mempromosi permainan ini, tapi saya agak tertarik dengan salah satu tajuk yang pernah muncul dalam permainan ini satu ketika dulu. Tajuknya adalah 時間が戻れれば(jikang ga modorereba), andai masa boleh diulang kembali. Sesiapa yang mendapat tajuk ini, perlulah bercakap tentang ‘jika masa boleh diulang kembali’ selama tiga minit. Kebanyakan yang mendapat tajuk ini bercakap tentang perkara yang mahu mereka betulkan.

Persoalannya, mengapa kita mahu masa diulang kembali? Sebabnya mudah, sebab kita merasa tidak cukup dengan apa yang berlaku pada masa lalu. Kita mengharapkan pengakhiran yang lain bagi perkara yang mengambil tempat dalam hidup kita. Contohnya, A mendapat keputusan 10A 1B bagi SPMnya, dan dia mahu kembali agar dapat berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh. Nyatalah di sini bagi A dan sesiapa yang berhajat begitu, mengharapkan keputusan lain atau yang lebih baik daripada apa yag telah diberikan. Sekurang-kurangnya dia mahukan keputusan 11A atau yang lebih baik. Apa yang tersirat di sebalik semua ini adalah jauh dalam hati ada rasa tidak bersyukur dalam hati kita dalam menerima setiap ketetapan ALLAH.

Seterusnya, seorang anak yang telah kehilangan ayahnya, mahu kembali ka masa lalu dan berusaha mengubati ayahnya agar ayahnya dapat hidup lebih lama dan mereka dapat menghabiskan masa bersama walau hanya lebih beberapa minit. Maknanya, ada terselit rasa tidak bersyukur pada hati si peminta atas masa yang telah ALLAH berikan untuk bersama ayahnya. Atau bagi kami yang telah merasa perih di JAD ada masanya terfikir untuk kembali, agar tidak memilih untuk ke sini. Tapi sungguh kami tidak mahu tergolong dalam golongan tidak bersyukur. Nauzubillah!

Betul, bila kita mahu kembali ke masa lalu, ertinya kita mengharapkan pengakhiran lain bagi sesuatu peristiwa kerana kita anggap pengakhiran yang kita impikan itu adalah lebih baik. Tetapi seperti apa yang saya selalu tanyakan pada artikel terdahulu, yakinkah kita apa yang kita mahukan itu adalah yang terbaik? Kita sebagai hamba yang ilmu hanya secebis mahu melawan takdir ALLAH yang Maha mengetahui, layakkah kita? Jika dilihat secara zahir, memanglah 11A itu adalah lebih baik daripada 10A1B, namun bagi keseluruhan rentetan kehidupan kita, tiada siapa yang dapat menilai yang mana lebih baik selain ALLAH yang Maha mengetahui. Ia mungkin membawa kepada perjalanan hidup yang lebih buruk dari apa yang kita lalui sekarang. Misalnya, bagi kami yang mahu kembali agar tidak memilih JAD, jika benar itu terjadi dan kami memilih yang lain, bererti kami tidak akan bertemu sesama lain. Nescaya kami tidak dapat merasa ukhuwah yang utuh antara kami. Kerana kami hanya golongan kecil, jadi suasana Islam itu masih dapat dipelihara dan mudah untuk kami saling mengingatkan. Jika saya tidak memilih JAD, pastinya saya tidak menulis di sini. Dan saya telah hilang peluang untuk menyampaikan dakwah secara tulisan. Saya telah rugi di situ.

Jika ada seseorang yang mahu kembali, kerana mengharapkan pertemuan yang lebih lama dengan yang disayanginya dengan alasan mahu merasai lebih lama kebahagiaan yang dikurnia. Tapi benarkah begitu? Andai masa lebih lama diberikan, ada kemungkinan akan tercetusnya pergaduhan dan diakhiri dengan perpisahan. Pasti ianya lebih menyakitkan bukan? Pertemuan yang sekejap, tetapi diakhiri dengan bahagia, lebih baik berbanding pertemuan yang lama tetapi akhirnya derita. Kesimpulannya, dengan kembali dan mahu mengubah sesuatu yang telah tertulis adalah perkara membuang masa. Walaupun kita merasakan apa yang diharapkan adalah terbaik, namun ia NYATA bukan yang terbaik. Cukuplah kita meyakini janji ALLAH.

“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

[Al Baqarah, 216]

Jadi, peringatan buat semua dan diri sendiri juga, berhentilah berharap agar masa boleh diulang kembali. Kerana ia samalah dengan menyesali apa yang telah terjadi. Mulalah bersyukur dengan apa sahaja yang diberi kerana itu sudah pastinya yang TERBAIK. Daripada kita berharap agar boleh kembali , agar dapat menukar 10A 1B ke 11A, lebih baik jika kita berusaha untuk yang terbaik bagi peperikasaan semester yang akan datang. Kerana sudah ketentuan ALLAH, masa TIDAK MUNGKIN berulang kembali. Benar, dengan berharap agar masa boleh diulang kita sebenarnya mengharapkan peluang. Jangan risau, ALLAH yang bersifat Maha Penyayang dan Maha Pemurah menyediakan berjuta peluang untuk kita. Tapi bukanlah pada masa lalu, ianya ada pada hari ini, esok dan masa hadapan kita. Jangan kita yang salah tempat mencari, lalu berasa ALLAH tidak memberi peluang. Janganlah kita jadi begitu.

Yang paling JAUH dari kita adalah MASA LALU, dan yang paling HAMPIR adalah KEMATIAN…

2 thoughts on “Kembali…

  1. Betul.

    Kadang-kadang kita mungkin gagal mendapatkan sesuatu seperti yang diharapkan. Bersabarlah. Mungkin esok-esok Allah nak bagi sesuatu yang lebih baik untuk kita. Siapalah kita untuk melawan qada’ dan qadar-Nya..

    Dan yang pasti, setiap kesusahan, pasti ada kemudahan selepasnya.

    Yakinlah.🙂

  2. setuju dengan artikel ini,pada pendapat saya,kalaulah masa boleh diputar kembali itu lebih baik utk manusia,sudah lama Allah berikan kebolehan itu kepada manusia tapi pasti kebolehan itu mendatangkan kerosakan dari kebaikan.
    Kita lihat dari sudut kita,cuba lihat dari sudut orang jahat,kalau masa boleh diputar kembali,pasti dia bunuh siapa yang menentangnya sejak orang itu bayi lagi
    So better mase tetap sebegitu dan tak perlu diputar kembali

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s