Mari kita sama-sama merasainya..

Jom jadi penakut.

Jom jadi pemalu.

Jom jadi insan yang bergantung sepanjang masa.

Jom jadi orang yang sentiasa meminta.

Jom terus berusaha!

Ajakan ini bukan satu gurauan malah ia ditujukan khas buat saya dan anda semua. Kalau selama ini kita sangat berani, marilah kita jadi penakut. Kalau selama ini kita langsung tak kisah melakukan apa sahaja, saya panggil anda untuk jadi pemalu. Kalau selama ini kita rasa kita sudah hebat dan tak perlu pada tempat bergantung, saya seru anda untuk kembali dan bergantung. Kalau selama ini kita rasa sombong dan cukup kuat, marilah kita jadi hamba yang sentiasa meminta. Lakukan semua ini HANYA kepada ALLAH. Betul. Marilah kita sentiasa merasakan ALLAH berada bersama kita. Letak ALLAH sebagai pemelihara kita yang mutlak. Itulah erti taqwa yang sebenarnya.

Tapi, bukanlah jadi penakut bila berhadapan dengan ujian dunia. Bukanlah takut bila berhadapan dengan hantu. Bukanlah takut untuk berkata benar. Tapi takutlah kepada ALLAH.

“Dan kepadaKu, maka takutlah engkau semua!”

[Al-Baqarah: 40]

Kalau kita sangat berani melanggar perintah ALLAH, matikan rasa berani itu dan binalah rasa takut kepada azab ALLAH.  Saat kita berani memegang tangan yang bukan muhrim kita, berhentilah sejenak dan takutlah pada azab ALLAH. Saat kita terlalu berani dalam meringankan solat dan soal menjaga aurat, ambillah masa sejenak untuk gerunkan azab ALLAH. Benar, saat kita digoda oleh syaitan untuk melencong dari landasan sebenar, bawalah hati kita untuk takut kepada ALLAH. Kerana azab ALLAH itu sangat keras dan pedih.

“Sesungguhnya seringan-ringan siksa ahli neraka pada hari kiamat itu adalah seseorang yang di bahagian bawah kedua kakinya diletakkan dua buah bara api yang dengannya itu dapat mendidihlah otaknya. Orang itu tidak meyakinkan bahawa ada orang lain yang lebih sangat siksanya daripada dirinya sendiri – jadi ia mengira bahawa dirinya itulah yang mendapat siksa yang terberat, padahal orang itulah yang teringan sekali siksanya.”

[Muttafaq ‘alaih]

Kerana bagi mereka yang takutkan ALLAH, akan sentiasa berhati-hati dalam setiap langkah. Dan,

“Dan orang yang takut di waktu berdiri di hadapan Tuhannya, ia akan memperoleh dua buah taman syurga.”

[Ar Rahman: 46]

Malu. Hiasi diri kita dengan sifat malu yang betul pada definisinya. Bukan malu pada yang tidak sepatutnya. Malu melakukan maksiat. Bukan malu melakukan kebaikan. Kerana sifat malu ini menjadi benteng pada diri. Umpama brek saat mahu melakukan kejahatan atau lagha dengan syarat ianya diletak pada tempat yang betul. Jika selama ini kita selalu tak kisah melakukan perkara sumbang yang meyakitkan mata memandang, binalah tembok malu, agar kita selamat dari fitnah dan mereka pun selamat dari menfitnah. Saling membantu. Tapi ingat, sediakan hati dengan panduan iman, agar setiap rasa malu itu betul pada tempatnya dan rasa ‘tidak kisah’ itu tidak disalahgunakan.

“Dari Ibnu Umar radhiallahu ‘anhuma bahawasanya Rasulullah s.a.w berjalan melalui seorang lelaki dari golongan kaum ansar dan ia sedang menasihati saudaranya tentang hal sifat malu – yakni malu mengerjakan kejahatan. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: “Biarkanlah ia, sebab sesungguhnya sifat malu itu termasuk dari keimanan.”

Dalam hidup seorang hamba, fitrahnya mudah dia wajib menurut perintah tuannya dan bergantung hidup pada tuannya. Untuk makan pakai dan segalanya. Begitu jugalah kita manusia. Menjadi hamba kepada ALLAH, menuntut kita untuk mendengar dan patuh pada setiap perintah. Jangan cuba melanggar fitrah. Lebih lagi, ALLAH bukan ‘tuan’ biasa. DIA adalah pencipta kita. Jelas dan bersuluh, DIA lebih mengetahui. Setiap perjalanan hidup kita, dalam kekuasaanNYA. Baik dan buruknya, hanya DIA yang mengetahui. Jadi, jangan sombongkan diri. Kembalilah pada DIA dan bergantunglah pada pencipta bukan pada makhluk ciptaanNYA.  Kerana telah dijanjikan sesiapa yang menjadikan ALLAH sebagai penolong, mereka itulah orang-orang yang menang.

Mintalah apa sahaja, pasti ALLAH kabulkan selagi mana kita mengakui keesaanNYA. Sujudlah dengan tawadhu’ dan asyik pada setiap solat kita, dan berdoalah. Jangan rasa terlalu hebat sehingga tidak meminta dan jangan pula rasa diri ini terlalu hina hingga tidak layak meminta. Tiada istilah tidak layak dalam berdoa. Kerana ALLAH itu Maha Mendengar, Maha Penyayang, Maha Pengampun. Ikutlah perintah ALLAH, dan mohonlah kepadaNYA. Kerana dengan sepotong doa itu mampu mengubah sebuah takdir. Jadilah peminta yang baik. Iringi setiap doa dengan keyakinan bahawa setiap apa yang diberikan adalah yang terbaik dalam menempuh liku kehidupan.

Setiap yang bernyawa itu pasti akan merasakan mati. Selagi masih diberi kesempatan untuk menyedut nafas dan meneruskan hidup, rasalah takut kepada ALLAH, rasa malulah untuk melakukan kejahatan, cukupkan diri dengan hanya rasa bergantung padaNYA dan gunakan senjata DOA yang telah dikurniakan sebaiknya. Cantumkanlah segala rasa ini dan kembalilah padaNYA. Kerana hanya padaNYA terletak sebuah kebahagiaan hakiki.  Mari kita sama-sama merasainya agar terdorong hati ini ke dalam taman taqwa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s